Menurut Nik Safiah Karim et al.
(2013), frasa adjektif ialah susunan perkataan yang terdiri daripada satu
perkataan atau beberapa perkataan yang mengandungi kata adjektif atau kata
sifat sebagai intinya (Nik Safiah Karim et al., 2013: 405). Kata inti merupakan bahagian utama dalam
susunan frasa tersebut (Nik Safiah Karim et al., 2013: 405). Frasa adjektif
yang dibincangkan ialah yang berfungsi sebagai predikat dan juga sebagai
keterangan dalam predikat (Nik Safiah Karim et al., 2013: 405). Sebagai unsur
keterangan, kata adjektif hadir sesudah atau sebelum frasa kerja dan frasa sendi nama (Nik Safiah
Karim et al., 2013: 405).
Berdasarkan perincian tentang
frasa adjektif yang telah dibuat dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2013),
beberapa isu bahasa boleh dibangkitkan untuk perbincangan.
Antara isu bahasa yang ingin diketengahkan oleh penulis ialah huraian yang dibuat tentang unsur
penguat dalam ungkapan darjah penghabisan. Menurut Nik Safiah Karim et al. (2013),
penanda darjah penghabisan ter-, paling dan sekali tidak dapat hadir serentak dalam satu binaan. Contohnya :
1) *terpandai sekali
2) *paling pandai sekali
3) *terpaling pandai
4) *paling terpandai (Nik Safiah Karim et al., 2013: 246).
Menurut Nik Safiah Karim et al.
(2013), penggunaan kata adjektif dalam
ungkapan darjah penghabisan dapat dilakukan mengikut cara-cara yang berikut :
5) se + kata adjektif + gandaan + kata nama
6) ter- + kata adjektif
7) paling + kata adjektif
8) kata adjektif + sekali
9) ter- + {amat / sangat} + kata adjektif
10) {amat / sungguh / sangat } + kata adjektif +
sekali
(Nik Safiah Karim et al., 2013:
244-245 ).
Dua
unsur penguat boleh juga hadir berderetan sebelum kata adjektif. Contohnya sungguh amat merdu dan terlalu amat pedih (Nik Safiah Karim et
al., 2013: 411).
Huraian tentang penggunaan
darjah penghabisan yang dibuat oleh Nik Safiah Karim et al. (2013) dalam buku
Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga agak berbeza jika dibandingkan dengan huraian Asmah
Haji Omar (1993) tentang penggunaan tingkat tertinggi dalam frasa perbandingan.
Perbezaan ini dapat dilihat dalam buku Nahu Melayu Mutakhir (1993) iaitu dalam Bab
25: Frasa Sifat. Dalam tingkat tertinggi frasa perbandingan, Asmah Hj Omar
(1993) menghuraikan bahawa dalam penggunaan bahasa sehari-hari, baik bahasa
lisan mahupun bahasa tulisan, terdapat penggabungan darjat kepalingan dan
kesangatan (Asmah Haji Omar,1993: 303). Kedua-dua bentuk kepalingan iaitu paling dan ter- boleh berfungsi dalam penggabungan (Asmah Haji Omar, 1993:
303). Bagi darjat kesangatan pula, kata kesangatan yang mungkin digunakan
hanyalah sekali, iaitu yang letaknya sesudah kata sifat (Asmah Haji Omar,1993:
303). Contoh frasa sifat yang merupakan gabungan kepalingan dan kesangatan ini
adalah seperti terindah sekali, terbaik
sekali, paling bagus sekali, paling buruk sekali dan sebagainya (Asmah Haji
Omar,1993: 303). Menurut Asmah Haji Omar (1993), penggabungan ini mungkin
berlaku disebabkan kepalingan dan kesangatan menempati tingkat yang sama dalam
tatabahasa perbandingan (Asmah Haji Omar,1993: 303).
Perbezaan huraian yang ditunjukkan
oleh kedua-dua penulis tentang darjah penghabisan ini menimbulkan sedikit kekeliruan
kepada pengguna bahasa Melayu yang kebanyakannya menggunakan teks ini sebagai
rujukan utama. Hal ini kerana Nik Safiah Karim et al. (2013) tidak membenarkan
darjah penghabisan ter-, paling dan sekali untuk hadir serentak dalam satu
binaan.
Sebaliknya, Asmah Haji Omar (1993) membenarkan penggunaan tersebut dengan menghuraikan
bahawa bentuk kepalingan yang ada boleh berfungsi dalam penggabungan (Asmah
Haji Omar,1993:303). Kata penguat sekali
boleh hadir serentak dan kedudukannya adalah sesudah kata sifat (Asmah Haji
Omar,1993:303). Pada pandangan penulis, isu bahasa ini boleh dibincangkan lagi
dengan merujuk pandangan ahli-ahli bahasa yang lain bagi menentukan sama ada
pandangan Nik Safiah Karim et al. (2013) tentang penggunaan darjah
penghabisan masih boleh terus dirujuk
atau sebaliknya memandangkan teks ini menjadi
rujukan kebanyakan rakyat Malaysia khususnya para pelajar dalam peperiksaan UPSR,
PT3, SPM dan STPM seperti yang disyaratkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.
Jika Nik Safiah Karim et al.
(2013) menggunakan istilah darjah
penghabisan dan Asmah Haji Omar (1993) menggunakan istilah tingkat
tertinggi dalam frasa perbandingan, Zainal Abidin Ahmad atau Za’ba (Edisi
Baharu, 2000) pula menggunakan istilah pangkat
penghabisan bagi menghuraikan perkara yang sama. Merujuk kepada penulisan
beliau dalam buku Pelita Bahasa Melayu
Penggal I - III Edisi Baharu, Za’ba (Edisi Baharu, 2000) membenarkan
penggunaan terlebih + sifat + sekali
iaitu dengan memberi contoh “Dialah yang
terlebih rajin sekali” .
Kenyataan ini dilihat menyokong huraian yang terdapat dalam Nahu Melayu
Mutakhir (1993) walaupun ada penambahan kata lebih dalam penggunaannya. Menurut Za’ba (Edisi Baharu, 2000),
kaedah ini bukannya kaedah Melayu jati tetapi penggunaannya seolah-olah telah
diterima oleh masyarakat Melayu.
Jelas di sini bahawa penggunaannya diterima oleh Za’ba (Edisi Baharu,2000) walaupun
beliau ada meletakkan sebab penggunaannya yang dikaitkan dengan kebiasaan
masyarakat Melayu. Justeru, penulis menyimpulkan bahawa huraian Za’ba (Edisi Baharu,2000) menyokong pandangan
yang telah dikemukakan oleh Asmah Haji Omar (1993) dalam buku Nahu Melayu
Mutakhir.
Bagi Liaw Yock Fang, istilah
yang digunakan oleh beliau dalam buku Nahu Melayu Moden (1985) ialah tingkat paling atas atau superlatif
(Liaw Yock Fang, 1985 : 44). Menurut Liaw
Yock Fang (1985), tingkat paling atas menyatakan darjat yang paling tinggi
(Liaw Yock Fang, 1985 : 44). Darjat ini dinyatakan oleh frasa yang paling, yang ter... atau yang se + kata sifat ganda + nya (Liaw
Yock Fang, 1985 : 44). Contohnya :
11)
Di antara beberapa buah novel yang saya baca itulah yang paling baik.
12)
Yang terpenting ialah memilih
teman hidup yang bersedia sehidup semati dengan kita.
(Liaw
Yock Fang, 1985 : 44)
Berdasarkan huraian dan contoh
yang dikemukakan oleh Liaw Yock Fang di atas, jelas menunjukkan bahawa beliau
juga bersetuju dengan pandangan Asmah Haji Omar(1993) dan Za’ba(Edisi
Baharu,2000) walaupun beliau meletakkan kata yang sebagai penambahan untuk penggunaannya.
Kesimpulannya, dengan merujuk
pandangan beberapa ahli bahasa, penulis mendapati bahawa kata penguat ter, paling dan sekali boleh hadir serentak dalam satu binaan. Justeru, penulis
mengesyorkan agar penulis-penulis Tatabahasa Dewan mengkaji semula permasalahan yang sering
menimbulkan kekeliruan ini dan membetulkannya apatah lagi teks ini merupakan
antara rujukan utama masyarakat Malaysia khususnya para pelajar dan pengkaji
bahasa.
Jalan (3) ini bukannya kaedah Melayu jati, hanya
telah tertiru dengan tiada perasaan daripada resaman bahasa lain, dan biasanya
terpakai bagi sifat nama sahaja.
Bibliografi
Asmah
Haji Omar Edisi Keempat. 1993. Nahu
Melayu Mutakhir. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Liaw
Yock Fang. 1985. Nahu Melayu Moden.
Pustaka Nasional Pte Ltd: Singapura.
Nik
Safiah Karim et al.. 2006. Tatabahasa
Dewan Edisi Baharu. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Zainal Abidin Ahmad. 2000. Pelita Bahasa Melayu Penggal I - III
Edisi Baharu. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.