Wednesday, 8 April 2015

Isu 1 : Unsur Penguat dalam Ungkapan Darjah Penghabisan

                Menurut Nik Safiah Karim et al. (2013), frasa adjektif ialah susunan perkataan yang terdiri daripada satu perkataan atau beberapa perkataan yang mengandungi kata adjektif atau kata sifat sebagai intinya (Nik Safiah Karim et al., 2013: 405).  Kata inti merupakan bahagian utama dalam susunan frasa tersebut (Nik Safiah Karim et al., 2013: 405). Frasa adjektif yang dibincangkan ialah yang berfungsi sebagai predikat dan juga sebagai keterangan dalam predikat (Nik Safiah Karim et al., 2013: 405). Sebagai unsur keterangan, kata adjektif hadir sesudah atau sebelum  frasa kerja dan frasa sendi nama (Nik Safiah Karim et al., 2013: 405).
                Berdasarkan perincian tentang frasa adjektif yang telah dibuat dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2013), beberapa isu bahasa boleh dibangkitkan untuk perbincangan[1]. Antara isu bahasa yang ingin diketengahkan oleh penulis  ialah huraian yang dibuat tentang unsur penguat dalam ungkapan darjah penghabisan. Menurut Nik Safiah Karim et al. (2013),  penanda darjah penghabisan ter-, paling dan sekali tidak dapat hadir serentak dalam satu binaan. Contohnya :
1)   *terpandai sekali
2)   *paling pandai sekali
3)   *terpaling pandai
4)   *paling terpandai                                     (Nik Safiah Karim et al., 2013: 246).
                Menurut Nik Safiah Karim et al. (2013),  penggunaan kata adjektif dalam ungkapan darjah penghabisan dapat dilakukan mengikut cara-cara yang berikut :
                     5)    se + kata adjektif + gandaan + kata nama
                     6)    ter- + kata adjektif
                     7)    paling + kata adjektif
                     8)    kata adjektif + sekali
                     9)    ter- + {amat / sangat} + kata adjektif
                    10)  {amat / sungguh / sangat } + kata adjektif + sekali 
                                                                              (Nik Safiah Karim et al., 2013: 244-245 ).
Dua unsur penguat boleh juga hadir berderetan sebelum kata adjektif. Contohnya sungguh amat merdu dan terlalu amat pedih (Nik Safiah Karim et al., 2013: 411).
                Huraian tentang penggunaan darjah penghabisan yang dibuat oleh Nik Safiah Karim et al. (2013) dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga agak berbeza jika dibandingkan dengan huraian Asmah Haji Omar (1993) tentang penggunaan tingkat tertinggi dalam frasa perbandingan. Perbezaan ini dapat dilihat dalam buku Nahu Melayu Mutakhir (1993) iaitu dalam Bab 25: Frasa Sifat. Dalam tingkat tertinggi frasa perbandingan, Asmah Hj Omar (1993) menghuraikan bahawa dalam penggunaan bahasa sehari-hari, baik bahasa lisan mahupun bahasa tulisan, terdapat penggabungan darjat kepalingan dan kesangatan (Asmah Haji Omar,1993: 303). Kedua-dua bentuk kepalingan iaitu paling dan ter- boleh berfungsi dalam penggabungan (Asmah Haji Omar, 1993: 303). Bagi darjat kesangatan pula, kata kesangatan yang mungkin digunakan hanyalah  sekali, iaitu yang letaknya sesudah kata sifat (Asmah Haji Omar,1993: 303). Contoh frasa sifat yang merupakan gabungan kepalingan dan kesangatan ini adalah seperti terindah sekali, terbaik sekali, paling bagus sekali, paling buruk sekali dan sebagainya (Asmah Haji Omar,1993: 303). Menurut Asmah Haji Omar (1993), penggabungan ini mungkin berlaku disebabkan kepalingan dan kesangatan menempati tingkat yang sama dalam tatabahasa perbandingan (Asmah Haji Omar,1993: 303).
                Perbezaan huraian yang ditunjukkan oleh kedua-dua penulis tentang darjah penghabisan ini menimbulkan sedikit kekeliruan kepada pengguna bahasa Melayu yang kebanyakannya menggunakan teks ini sebagai rujukan utama. Hal ini kerana Nik Safiah Karim et al. (2013) tidak membenarkan darjah penghabisan ter-, paling dan sekali untuk hadir serentak dalam satu binaan[2]. Sebaliknya, Asmah Haji Omar (1993) membenarkan penggunaan tersebut dengan menghuraikan bahawa bentuk kepalingan yang ada boleh berfungsi dalam penggabungan (Asmah Haji Omar,1993:303). Kata penguat sekali boleh hadir serentak dan kedudukannya adalah sesudah kata sifat (Asmah Haji Omar,1993:303). Pada pandangan penulis, isu bahasa ini boleh dibincangkan lagi dengan merujuk pandangan ahli-ahli bahasa yang lain bagi menentukan sama ada pandangan Nik Safiah Karim et al. (2013) tentang penggunaan darjah penghabisan  masih boleh terus dirujuk atau sebaliknya memandangkan teks ini  menjadi rujukan kebanyakan rakyat Malaysia khususnya para pelajar dalam peperiksaan UPSR, PT3, SPM dan STPM seperti yang disyaratkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.
                Jika Nik Safiah Karim et al. (2013) menggunakan istilah darjah penghabisan dan Asmah Haji Omar (1993) menggunakan  istilah  tingkat tertinggi dalam frasa perbandingan, Zainal Abidin Ahmad atau Za’ba (Edisi Baharu, 2000) pula menggunakan istilah pangkat penghabisan bagi menghuraikan perkara yang sama. Merujuk kepada penulisan beliau dalam buku Pelita Bahasa Melayu Penggal I - III Edisi Baharu, Za’ba (Edisi Baharu, 2000) membenarkan penggunaan terlebih + sifat + sekali iaitu dengan memberi contoh “Dialah yang terlebih rajin sekali” [3]. Kenyataan ini dilihat menyokong huraian yang terdapat dalam Nahu Melayu Mutakhir (1993) walaupun ada penambahan kata lebih dalam penggunaannya. Menurut Za’ba (Edisi Baharu, 2000), kaedah ini bukannya kaedah Melayu jati tetapi penggunaannya seolah-olah telah diterima oleh masyarakat Melayu[4]. Jelas di sini bahawa penggunaannya diterima oleh Za’ba (Edisi Baharu,2000) walaupun beliau ada meletakkan sebab penggunaannya yang dikaitkan dengan kebiasaan masyarakat Melayu. Justeru, penulis menyimpulkan bahawa huraian  Za’ba (Edisi Baharu,2000) menyokong pandangan yang telah dikemukakan oleh Asmah Haji Omar (1993) dalam buku Nahu Melayu Mutakhir.
                Bagi Liaw Yock Fang, istilah yang digunakan oleh beliau dalam buku Nahu Melayu Moden (1985) ialah tingkat paling atas atau superlatif (Liaw Yock Fang, 1985 : 44).  Menurut Liaw Yock Fang (1985), tingkat paling atas menyatakan darjat yang paling tinggi (Liaw Yock Fang, 1985 : 44). Darjat ini dinyatakan oleh frasa yang paling, yang ter... atau yang se + kata sifat ganda + nya (Liaw Yock Fang, 1985 : 44). Contohnya :             
          11)  Di antara beberapa buah novel yang saya baca itulah yang paling baik.
           12)  Yang terpenting ialah memilih teman hidup yang bersedia sehidup semati dengan kita.
                                                                                                 (Liaw Yock Fang, 1985 : 44)
                Berdasarkan huraian dan contoh yang dikemukakan oleh Liaw Yock Fang di atas, jelas menunjukkan bahawa beliau juga bersetuju dengan pandangan Asmah Haji Omar(1993) dan Za’ba(Edisi Baharu,2000) walaupun beliau meletakkan kata yang sebagai penambahan untuk penggunaannya.
                Kesimpulannya, dengan merujuk pandangan beberapa ahli bahasa, penulis mendapati bahawa kata penguat ter, paling dan sekali boleh hadir serentak dalam satu binaan. Justeru, penulis mengesyorkan agar penulis-penulis Tatabahasa Dewan  mengkaji semula permasalahan yang sering menimbulkan kekeliruan ini dan membetulkannya apatah lagi teks ini merupakan antara rujukan utama masyarakat Malaysia khususnya para pelajar dan pengkaji bahasa.


[1] Sila rujuk Lampiran 1
[2] Teks asal mengatakan bahawa :
   penanda darjah penghabisan ter-, paling dan sekali tidak dapat hadir serentak dalam satu binaan
[3] Teks asal mengatakan bahawa:
   (3)Dengan memakai rangkaian ‘sifat + sekali’ atau ‘terlebih + sifat + sekali’: seperti sungai yang besar sekali, gunung yang tinggi
    sekali; Dialah yang terlebih rajin sekali di sini’.
[4] Jalan (3) ini bukannya kaedah Melayu jati, hanya telah tertiru dengan tiada perasaan daripada resaman bahasa lain, dan biasanya terpakai    bagi sifat nama sahaja.


Bibliografi

Asmah Haji Omar Edisi Keempat.  1993. Nahu Melayu Mutakhir. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Liaw Yock Fang. 1985. Nahu Melayu Moden. Pustaka Nasional Pte Ltd: Singapura.
Nik Safiah Karim et al..  2006. Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
 Zainal Abidin Ahmad.  2000. Pelita Bahasa Melayu Penggal I - III Edisi Baharu. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.





















6 comments:

Unknown said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Unknown said...

kak J

Unknown said...

kak J

Unknown said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Bambam Macaron said...

try test

Unknown said...
This comment has been removed by a blog administrator.