Sunday, 12 April 2015

Isu 3 : Pengecualian untuk bentuk kata majmuk Tatabahasa Dewan



Assalamualaikum…….

            Isu bahasa yang ingin saya utarakan kali ini  adalah tentang pengecualian sebilangan kecil bentuk kata majmuk  yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan yang utuh, dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2013).

            Sebelum itu adalah lebih baik jika kita meneliti maksud kata majmuk tersebut dan pembentukannya. Menurut  Nik Safiah Karim et al.(2013),  bentuk kata majmuk ialah satu proses pemajmukan yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna yang khusus (Nik Safiah Karim et al., 2013 :72). Kata majmuk dieja  terpisah dan bertindak sebagai satu unit,  iaitu bentuknya tidak boleh menerima  sebarang penyisipan unsur lain (Nik Safiah Karim et al., 2013 :72). Misalnya, kerusi malas ialah kata majmuk kerana tidak dapat disisipkan unsur  lain seperti ‘yang’ (Nik Safiah Karim et al., 2013 :72). Sebaliknya pinggan mangkuk bukan kata majmuk  kerana dapat diselitkan kata hubung ‘dan’ (Nik Safiah Karim et al., 2013 :72).

            Menurut  Nik Safiah et al. (2013), kata majmuk dapat dibahagikan kepada tiga kelompok, seperti yang berikut :
i)                    Kata majmuk yang terdiri daripada rangkaian kata bebas, contohnya :
gambar rajah
biru laut
air hujan
jalan raya
nasi minyak
terima kasih
luar biasa
alat tulis
bandar raya
tengah hari
jam tangan
meja tulis
bom tangan
merah muda
(Nik Safiah Karim et al., 2013 :73).

Dalam kategori ini juga termasuk bentuk kata yang digunakan sebagai gelaran, contohnya:
Perdana Menteri
Duta Besar
Raja Muda
Setiausaha politik
Penolong Pendaftar
Ketua Menteri
Naib Canselor
Profesor Madya
Timbalan Ketua Pustakawan
Ketua Setiausaha Negara
 (Nik Safiah Karim et al., 2013 :73).

ii)                  Kata Majmuk yang berbentuk istilah khusus, contohnya:
model linear
garis pusat
telefon dail terus
lesung sendi
kanta tangan
segi tiga
cari gali
reka bentuk
lut sinar
hak  milik
mata pelajaran
pita suara
darah panas
kertas kerja
batu kapur
atur cara
kemas kini
urus setia
(Nik Safiah Karim et al., 2013 :73).

iii)                Kata majmuk yang mendukung maksud kiasan, iaitu simpulan bahasa, contohnya :
kaki ayam
buah hati
duit kopi
makan angin
pilih kasih

anak emas
bulan madu
manis mulut
tumbuk rusuk
berat tangan
(Nik Safiah Karim et al., 2013 :73).

            Menurut Nik Safiah Karim et al.(2013), terdapat sebilangan kecil bentuk kata majmuk yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan yang utuh, walaupun bentuk kata tersebut ternyata mengandungi dua kata dasar (Nik Safiah Karim et al.,2013:74). Perkataan yang demikian tetap dieja bercantum sebagai satu perkataan (Nik Safiah Karim et al.,2013:74). Bentuk-bentuk kata tersebut ialah:      
antarabangsa
beritahu
bumiputera
jawatankuasa
kakitangan
kerjasama
olahraga
matahari

setiausaha
sukarela
suruhanjaya
tandatangan
tanggungjawab
warganegara
pesuruhjaya
(Nik Safiah Karim et al., 2013 :73).

            Berdasarkan huraian di atas, isu yang ingin dibangkitkan ialah penulis-penulis Tatabahasa Dewan tidak memberikan sebarang alasan atau justifikasi yang munasabah bagi menjelaskan pembentukan sebilangan kecil bentuk kata majmuk tersebut. Alasan yang diberikan ialah penggunaannya sudah dianggap mantap.  Justeru, perkataan-perkataan ini dieja bercantum sebagai satu perkataan tanpa sebarang justifikasi dan dianggap sebagai satu pengecualian.     
        
            Persoalan yang ingin diketengahkan di sini ialah  sampai bilakah guru-guru Bahasa Melayu harus berdepan dengan segala kemusykilan dan keraguan yang sering ditimbulkan oleh para pelajar yang keliru tentang pembentukannya. Fenomena ini dilihat seolah-olah para pelajar kita tidak diberi sebarang  pilihan sebaliknya mereka hanya perlu menghafal sebilangan kecil kata majmuk tersebut  tanpa sebarang alasan yang kukuh. Hal ini adalah kerana teks Tatabahasa Dewan ini merupakan sumber rujukan utama yang telah disyaratkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia bagi calon-calon UPSR, PT3, SPM dan STPM.

            Harapan kita semoga kekalutan ini tidak berterusan dan menemui titik noktahnya. Kemelut ini harus segera ditangani demi memartabatkan bahasa yang kita cintai.


Bibliografi


Nik Safiah Karim et al..  2006. Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

No comments: