Assalamualaikum..
Isu bahasa yang ingin saya
ketengahkan pada kali ini adalah tentang keterpinggiran bahasa Melayu di bumi
sendiri.
Fenomena hari
ini menyaksikan betapa masyarakat kita khususnya golongan
muda berasa malu dan rendah diri untuk
menggunakan bahasa Melayu dalam pertuturan sehari-hari. Usah terkejut jika ada dalam
kalangan anak muda yang tidak boleh bertutur dengan betul dalam bahasa ibunda
mereka iaitu bahasa Melayu. Kononnya, mereka lebih selesa menggunakan bahasa
penjajah (bahasa Inggeris) daripada bahasa ibunda yang menjadi warisan nenek
moyang selama ini. Di manakah silapnya?
Kenapa generasi masa kini hilang semangat kemelayuan dalam konteks bahasa dan
budaya serta mengagung-agungkan segala yang datang dari Barat?
Pemikiran
seperti ini perlu dikikis dengan segera kerana generasi muda yang merupakan
tonggak kepemimpinan negara pada masa akan datang seharusnya meneruskan
perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan bukan memperlekehkannya. Persoalannya
ialah adakah bahasa Melayu itu terpinggir atau sengaja dipinggirkan oleh
penutur natifnya? Apakah tidak glamour jika kita tidak bertutur dalam bahasa
Inggeris? Fenomena ini jauh berbeza jika dibanding dengan negara besar dunia
seperti di China dan Jepun. Rakyat di
negara matahari terbit itu begitu bangga dengan bahasa sendiri dan mendaulatkan
penggunaannya di semua peringkat.
Kemerdekaan yang dikecapi selama 50 tahun seharusnya sudah mampu
mematangkan pihak kerajaan dan DBP bagi melaksanakan langkah-langkah
memartabatkan bahasa Melayu. Pada tahap ini, kita seharusnya sudah mempunyai
rancangan yang kukuh dan perlu dilaksanakan bagi memelihara dan menjamin
kedaulatan bahasa Melayu. Komitmen yang kental dan berterusan perlu
direalisasikan agar bahasa Melayu benar-benar menjadi bahasa kebangsaan dan
bukan sekadar catatan dalam Perlembagaan Persekutuan. Hasrat murni ini pasti
membuahkan kejayaan andainya mendapat kerjasama daripada seluruh warganegara
Malaysia. Ayuh sama-sama kita renungkan nasib yang bakal menimpa bahasa ibunda
yang kita warisi ini jika kemelut keterpinggiran bahasa Melayu ini tidak
ditangani dengan serius.
No comments:
Post a Comment