Sunday, 12 April 2015

Isu -5 : Pengaruh Media Massa dalam Kemasyukan Menggunakan Kata Ganti Nama Diri yang Salah.



Assalamualaikum dan selamat tengah hari semua,...

         Isu yang ingin saya ketengahkan dalam ruangan kali ini adalah berkaitan penggunaan kata ganti nama diri yang salah. Penggunaan kata ganti nama diri ‘kita orang’, ‘korang’ dan ‘diaorang’, yang merujuk kepada ganti nama diri ‘kami’, ‘kalian’ dan ‘mereka’, dilihat begitu  meluas penggunaannya  bukan sahaja dalam kalangan remaja  malah juga golongan intelektual.  Masalah ini  menjadi lebih parah  apabila pihak media iaitu satu-satunya medium yang cukup dekat dengan jiwa masyarakat turut menyajikan unsur negatif ini melalui tayangan drama dan filem mereka.  Adakalanya rancangan wawancara yang melibatkan tokoh-tokoh ternama juga seolah-olah turut selesa menggunakan kata ganti nama diri yang salah ini.
             
            Penularan unsur negatif ini perlulah dibendung dengan segera kerana pengaruh media massa terhadap penonton, pendengar dan pembaca khususnya kanak-kanak adalah sangat besar. Dalam hal ini, pihak media seharusnya meletakkan satu garis panduan sebelum menyiarkan sesuatu rancangan itu. Tindakan ini penting bagi menjaga martabat dan kemurnian bahasa Melayu daripada dicemari dengan sewenang-wenangnya. Kealpaan kita memungkinkan bahasa Melayu yang indah akan dipinggirkan oleh generasi muda Melayu. Renung-renungkanlah....   

No comments: