Sunday, 12 April 2015

Isu 4 : Pencemaran Bahasa Melayu dalam Kalangan Generasi Muda


Assalamualaikum wb ....

Isu ke-4 yang ingin saya utarakan kali ini adalah tentang pencemaran bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda.

            Isu pencemaran bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda sering dibicarakan. Salah siapakah sehingga bahasa Melayu tercela oleh penutur natifnya sendiri? Akan tergadaikah bahasa ibunda kita akibat kekhilafan kita sendiri ? Pelbagai persoalan pastinya bermain di benak bagi mereka yang sensetif akan hal ini. Ternyata daya kreativiti yang ada dalam kalangan masyarakat penutur natif ini telah disalahgunakan sehingga menghasilkan budaya berbahasa yang cacamerba sekali gus merendahkan jati diri bangsa Melayu itu sendiri. Perkara yang lebih menyedihkan dan begitu ironi sekali adalah apabila penggunaannya diterima oleh masyarakat umum terutamanya dalam kalangan anak muda iaitu golongan yang bakal menerajui tampok kepemimpinan negara pada masa akan datang.
            Penggunaan bahasa rojak dilihat begitu berleluasa dalam kalangan mereka tanpa ada sekelumit pun rasa bersalah. Bukan setakat menggunakan bahasa rojak, malahan golongan muda pada hari ini lebih gemar membuat singkatan pada perkataan ketika berhubung sesama mereka khususnya semasa menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS). Alasan yang diberikan oleh mereka ialah penggunaannya ringkas, mudah dan pada masa yang sama mesej masih dapat disampaikan dan difahami. Mereka seolah-olah tidak mempedulikan kesan buruk yang bakal berlaku dan nasib yang bakal menimpa bahasa ibunda tercinta.

            Jika ditinjau dan diperhalusi, arus globalisasi dan ledakan teknologi maklumat yang semakin pantas memang tidak dapat dihalang. Kewujudannya menjadi sebahagian daripada sumber yang memangkinkan lagi pencemaran bahasa ini berlaku. Kesannya,  anak-anak  bangsa kita tidak berbangga dengan bahasa sendiri, apatah lagi untuk mendaulatkan bahasa ini kerana mereka beranggapan bahawa bahasa ini tidak memiliki nilai dagang, tidak ada nilai antarabangsa dan tidak mempunyai kekuatan untuk menakluki keampuhan sains dan teknologi.

            Namun jika dilihat dari aspek sejarah pertumbuhan bahasa pula, kewibawaan bahasa Melayu sebagai antara bahasa terpenting di dunia tidak dapat disangkal. Menurut Prof. Dr Awang Sariyan, pada kurun ketujuh, bahasa Melayu telah pun dijadikan sebagai bahasa perantara dalam pentadbiran, perdagangan dan pengajian agama untuk kerajaan Sriwijaya yang luas dan sangat besar pada ketika itu. Sehubungan itu juga, Van Linschotten, seorang pegawai dari Belanda yang bertugas di Indonesia antara tahun 1586 hingga 1592 menilai bahasa Melayu sebagai teras bahasa tamadun tinggi pada ketika itu. Ironinya, generasi muda pada hari ini sebaliknya tidak pandai untuk menghormati bahasa sendiri, apatah lagi mengangkatnya ke martabat yang lebih tinggi. Namun lebih malang lagi apabila bahasa ibunda ini dipandang lekeh dengan alasan-alasan yang tidak munasabah.

            Bahasa Melayu sebenarnya gambaran kepada jati diri bangsa Malaysia. Itulah sebabnya disebut "Bahasa Jiwa Bangsa".  Bahasa Melayu merupakan bahasa yang sangat istimewa dan mempunyai keunikannya yang tersendiri.  Sesungguhnya, setiap bahasa itu datangnya dari Allah SWT melalui ilham yang disampaikan kepada hamba-Nya mengikut bahagian-bahagian tertentu di bumi. Jika tidak, masakan Nuruddin al-Raniri menggunakan bahasa Melayu sebagai medium dakwah dalam kalangan orang Melayu sekalipun beliau sendiri bukan orang Melayu.  

Kesan yang paling menakutkan adalah kepada golongan muda yang bergelar pelajar. Hal ini  kerana mereka merupakan generasi pelapis yang bakal menerajui negara pada masa hadapan. Di pundak merekalah kita letakkan tanggungjawab untuk mengangkat kedudukan bahasa Melayu yang semakin terpinggir di bumi sendiri.. Kealpaan mereka jika tidak dibendung mampu  menyebabkan mutu bahasa Melayu baku sama ada lisan atau tulisan merosot.  Sekiranya masalah pencemaran bahasa masih dipandang enteng, lama-kelamaan bahasa yang salah ini akan menjadi sebati di dalam diri generasi muda.

         Kesimpulannya,  jika pihak-pihak yang bertanggungjawab menjalankan tugas dengan penuh teliti,  tidak mustahil bahasa kita diangkat sebagai  bahasa antarabangsa yang berada pada tahap terpenting khususnya dalam bidang pendidikan. Oleh itu, pihak penerbit majalah atau drama juga haruslah sedar bahawa mereka juga bertanggungjawab membawa pembaharuan dan penambahbaikan dalam bidang bahasa. Dari sinilah kita mendidik masyarakat agar menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, sebutan dan tatabahasa bahasa Melayu. Sekiranya kita masih enggan untuk mengakui kesilapan, membetulkan kesilapan dan membudayakan semula bahasa Melayu secara murni dan mengekalkan keasliannya, tidak hairan jika satu hari nanti, bahasa Melayu akan hanya tinggal sebagai lembaran sejarah dalam peradaban manusia di dunia.


No comments: